Beranda > Artikel > Cara Beriman Dengan Rasul – Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah

Cara Beriman Dengan Rasul – Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah

Cara-cara percaya dengan segala rasul yang bersifat dengan segala sifat yang wajib dan tidak bersifat dengan sifat mustahil itu adalah seperti berikut :

1) Bahawasanya segala rasul-rasul itu tetap dan sabit yakni wajib bagi mereka itu bersifat dengan Siddiq artinya benar rasul-rasul itu pada mengaku dan dakwa mereka itu menjadi rasul. Dan benar pada segala hukum-hukum dan cerita-cerita yang disampaikan oleh mereka itu daripada Allah swt. Maka dengan sebab inilah wajib kita beriman dengan segala hukum-hukum samada di dalam bahagian ibadah atau bahagian muamalah atau bahagian munakahah atau bahagian jenayah, yang mana telah disampaikan oleh nabi kita Muhammad saw yang tersebut di dalam al-Quranulkarim dan di dalam hadis-hadis rasulullah saw. Sekiranya seseorang yang menolak tidak mahu menerima hukum-hukum tersebut, maka boleh membawa kepada rosaknya aqidah seseorang kerana tidak percaya bahawa wajib bagi rasul itu bersifat dengan Siddiq ertinya benar.

Dan wajib kita percaya dan iktiqad tidak ada sama sekali yakni mustahil atas sekelian rasul itu bersifat dusta ertinya tidak benar atau tidak bertentang khabarnya dengan wakiq(diri pekerjaan itu)

2) Wajib kita percaya dan iktiqad bahawasanya tetap dan sabit yakni wajib bagi segala rasul-rasul itu bersifat dengan Amanah ertinya kepercayaan, iaitu tidak mengerjakan sama sekali akan rasul-rasul itu segala perkara yang haram, dan yang makruh dan yang khilafatul aula(hukum yang tidak sampai peringkat makruh dan sunat) pada masa kecilnya dahulu daripada menjadi rasul dan kemudian daripada menjadi rasul.

Dan wajib percaya dan iktiqad bahawasanya tidak ada sama sekali yakni mustahil di atas segala rasul itu bersifat dengan sifat Khianat. Dalil atas yang demikian itu ialah ada mukjizat pada diri mereka itu.

3) Wajib kita percaya dan iktiqad bahawasanya tetap dan sabit yakni wajib bagi segala rasul-rasul itu bersifat dengan sifat Tabligh ertinya menyampaikan barang atau perkara yang menyuruh oleh Allah swt akan mereka itu menyampaikannya kepada sekelian hamba-Nya.

Dan wajib kita percaya dan iktiqad bahawasanya tidak ada sama sekali yakni mustahil atas sekelian rasul-rasul itu bersifat menyembunyikan barang atau perkara yang menyuruh oleh Allah swt akan mereka itu menyampaikannya. Dalil atas yang demikian itu ialah mukjizat yang ada pada mereka itu.

4) Wajib kita percaya dan iktiqad bahawasanya telah tetap dan sabit yakni wajib atas sekelian rasul itu bersifat dengan Fatonah iaitu bijaksana dengan sekira-kira ada pada mereka itu kebijaksanaan yang boleh mematahkan dan mematikan ucapan-ucapan musuh yang berbantah dengan sekelian rasul itu. Dan ada pada mereka itu kebijaksanaan yang boleh menyatakan wajah kesalahan pada lawannya itu, dan ada pada mereka itu kebijaksanaan untuk membuat keputusan di atas sesuatu pekerjaan.

Dan wajib kita percaya dan iktiqd bahawasanya tidak ada sama sekali yakni mustahil atas sekelian rasul itu bersifat dengan sifat Bodoh. Dalil atas yang demikian itu setengahnya daripada cerita-cerita nabi kita Muhammad saw membuat keputusan di atas perbantahan kabilah-kabilah Quraisy pada meletakkan batu Hajaratul Aswad pada tempatnya, dan lain-lain cerita dalam sirah rasulullah saw dan cerita-cerita rasul yang lain.

Dan wajib kita percaya dan iktiqad bahawasanya harus atas segala rasul itu bersifat dengan segala sifat manusia yang tidak membawa kepada kekurangan martabat mereka yang tinggi itu seperti makan, minum, sakit, kahwin dan sebagainya. Dalil atas yang demikian itu ialah dapat dilihat orang-orang yang semasa dengan mereka itu.

Dan wajib kita percaya dan iktiqad bahawasanya nabi Muhammad saw bangsa arab Quraisy. Ayahandanya bernama Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab. Dan bondanya bernama Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Dilahirkan di Mekah, diangkat menjadi rasul di Mekah, kemudian berpindah dia ke Mekah, wafat dia di Madinah dan dikuburkan dia di Madinah, di rumah Saidatina Aisyah r.a Ummul Mukminin. Inilah dia cara percaya dengan segala rasul. Dan inilah dikatakan segala ulama terkandung makna di dalam perkataan Muhammadur Rasulullah.

Empat sifat yang WAJIB atas segala rasul, empat sifat yang MUSTAHIL atas segala rasul, dan satu sifat yang HARUS atas segala rasul. Dengan makna bahawa seseorang yang berkata Muhammadur Rasulullah mestilah dia mengetahui dan memahami bahawasanya nabi Muhammad saw, yang tetap bersifat dengan empat sifat wajib bagi rasul, empat sifat mustahil bagi rasul dan satu sifat harus bagi rasul. Itulah rasulullah yang sebenar yang menjadi kewajipan atas setiap mukallaf mengetahui dan memahami dengan sebenar-benarnya.

About these ads
Kategori:Artikel Tag:, ,
  1. Belum ada komentar.
  1. No trackbacks yet.
Anda harus masuk log untuk mengirim sebuah komentar.
Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: